Wednesday, July 8, 2009

Kediaman baru Ketua Menteri tidak melibatkan dana kerajaan

Kenyataan Media oleh Yeap Choon Keong, Setiausaha Publisiti Pemuda Sosialis DAP (DAPSY) Negeri Pulau Pinang pada 9hb Julai 2009 (Khamis) di Georgetown, Pulau Pinang:

Pemuda Gerakan Negeri Pulau Pinang sedang mengalami kemuflisan politik sehingga tidak berhenti-henti untuk memperalatkan isu kediaman baru milikan swasta yang disewa oleh Lim Guan Eng, Ketua Menteri Pulau Pinang untuk mengkritik beliau tanpa sebarang bukti yang kukuh lagi bernas.

Sehingga kini, Pemuda Gerakan masih gagal untuk membuktikan Ketua Menteri merupakan pemilik bagi rumah tersebut dan terus mengaitkan isu ini dengan personaliti Ketua Menteri tanpa diketahui siapanya pemilik rumah tersebut.

Ini menunjukkan terdapat udang di sebalik Pemuda Gerakan yang cuba melaungkan serangan peribadi terhadap Ketua Menteri tanpa sebarang siasatan dibuat untuk mengenalpasti fakta-fakta yang sebenarnya. Janganlah Pemuda Gerakan hanya sekadar pandai untuk membuat sebarang tuduhan atau tohmahan tanpa asas-asas yang penting.

Pemuda Gerakan cuba membuktikan niat Ketua Menteri untuk pindah ke rumah tersebut dengan foto-foto menunjukkan bahawa kerja-kerja pengubahsuaian telah dimulakan tiga bulan sebelum itu. Namun, kerja-kerja pengubahsuaian tersebut dilakukan oleh pemilik rumah tanpa sebarang pengetahuan Ketua Menteri.

Ini langsung tidak dapat membuktikan apa-apa. Yang penting, kerja-kerja pengubahsuaian adalah dilakukan oleh pemilik rumah sendiri tanpa melibatkan sebarang dana kerajaan. Identiti pemilik rumah itu tidak akan dibongkarkan atas prinsip untuk menghormati keperibadian pemilik tersebut.

Ketua Menteri hanya terpaksa berpindah ke rumah yang disewa itu atas sebab kerosakan-kerosakan di Seri Teratai, Kediaman Rasmi Ketua Menteri yang diakibatkan oleh serangan anai-anai. Ketua Menteri merancang untuk pindah balik ke Seri Teratai selepas masalah serangan anai-anai dapat diatasi.

Isu tersebut terus diheboh-hebohkan oleh Pemuda Gerakan membuktikan lagi niat jahat mereka untuk memastikan keselamatan Ketua Menteri dan sekeluarganya tidak terjamin serta menghalang Ketua Menteri daripada berpindah keluar dari Seri Teratai yang kini tidak selamat untuk dihuni.

DAPSY Negeri Pulau Pinang akan terus berhadapan dengan Pemuda Gerakan dalam perkara ini serta mempertahankan hak asasi Ketua Menteri untuk mendapatkan tempat berlindung yang selesa lagi selamat.

No comments:

Post a Comment